Monday, April 5, 2010

Lelaki bergaya

Lord's Tailor membantu mereka tampil hebat di ABPBH2009

CETUSAN Warna yang menjadi tema Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, yang berlangsung dengan meriahnya malam tadi di Arena of Stars, Genting Highlands, benar-benar terserlah.

Penampilan begitu ramai bintang yang memeriahkan acara dalam busana pelbagai rona, memperlihatkan betapa tema itu diikuti dengan penuh bergaya.

Beberapa hari sebelum malam anugerah berlangsung, sembilan artis lelaki popular masa kini, Fahrin Ahmad, Aaron Aziz, Que Haidar, Fizz Fairuz, Gambit Saifullah, Adam, Norman Hakim, Shaheizy Sam dan Kamal Adli terlebih dulu hadir pada sesi mencuba pakaian, di butik Lord’s Tailor, Bangsar.

Penampilan hebat mereka pada acara cukup berprestij itu mendapat sentuhan jenama pakaian lelaki terkemuka terbabit, yang sudah pun bekerjasama dengan ABPBH sejak beberapa tahun lalu.

Apabila selebriti lelaki ini tampil penuh bergaya, mungkin ramai peminat tertanya, sejauh mana sebenarnya mereka mengikuti perkembangan fesyen yang selalunya dimonopoli golongan Hawa.

Namun usah terkejut jika ada antara pelakon dan penyanyi ini yang mengaku cukup sukakan fesyen, kerana ia sebahagian daripada dunia hiburan.

Shaheizy Sam yang masih lagi hangat dek sambutan hebat diberikan peminat kepada filem lakonannya, Adnan Sempit, memberitahu dia tidaklah begitu taksub dengan fesyen.

Bagaimanapun, seboleh-bolehnya pelakon ini cuba mengikuti perkembangan terkini dunia busana agar penampilannya juga tidak menjadi bahan kutukan.

"Secara dasarnya saya menggemari fesyen yang sedikit funky, tetapi bergaya. Rekaan daripada Dolce and Gabbana dan Gucci umpamanya, sedikit sebanyak menjadi ikutan saya.

"Saya juga selalu perhatikan, apakah rekaan terbaru yang berada di pasaran dan daripada koleksi terbabit, pandai-pandailah kita menyesuai padan pakaian berkenaan," kata Sam yang kini sibuk menjalani penggambaran Adnan Sempit versi drama bersiri, untuk tayangan Astro.

Mengenai tema Cetusan Warna yang digayakan pada malam anugerah, semalam, Sam mengaku pada mulanya dia berasa agak sukar untuk membayangkan bagaimanakah penampilannya dalam tema berkenaan.

"Sebenarnya, ia banyak bergantung kepada cara kita menggayakan warna terbabit. Seseorang yang memakai pakaian berwarna perlu mempunyai keyakinan, bagi menyerlahkan lagi gayanya," ujar pelakon berbakat ini yang kurang menggemari warna kusam.

Kekok bercerita soal fesyen

Aaron Aziz yang kini meletup di pawagam bersama filem Evolusi KL Drift 2 pula berkata, fesyen dengan dirinya umpama nasi lemak dan arrabiata, dua jenis makanan yang tidak mungkin dapat dicampurkan bersama.

"Saya memang agak teruk apabila bercerita mengenai fesyen. Justeru, saya mengambil jalan mudah dengan memilih warna yang saya rasa selesa saja. Selalunya, saya memakai pakaian berwarna biru, putih dan hitam.

"Ketika saya mula-mula dimaklumkan mengenai tema pakaian untuk ABPBH 2009, saya jadi agak terperanjat. Nasib baiklah saya mendapat kerjasama daripada Lord’s Tailor yang seakan sudah mengerti cita rasa saya.

Lalu, terhasillah jaket ini yang begitu selesa dipakai dan warnanya pula kena dengan kulit saya," katanya.

Aaron berkata, dia tentunya perlu belajar lebih banyak perihal gaya, dan acara anugerah seperti ABPBH ialah antara detik terbaik untuknya mendalami ilmu dalam bidang berkenaan.

Pelakon yang baru saja menamatkan kontraknya bersama Astro ini turut memberitahu, jika tidak kerana isterinya, Diyana Halik, sudah tentu penampilannya akan lebih ‘lintang-pukang’.

Mengenai perkembangan terkini kariernya pula, bintang kelahiran Singapura yang menunggu kelahiran anak ketiga pada hujung Mei ini berkata, dia baru saja menamatkan penggambaran siri Santau Keramat untuk Astro. Bermula 6 April, dia turun pula ke lokasi siri 26 episod berjudul Habil dan Qabil, untuk slot Samarinda TV3.

Seperti Aaron, pelakon Fizz Fairuz juga mendakwa dirinya tidak begitu akrab dengan fesyen.

"Saya seorang lelaki yang suka bergaya sederhana. Begitupun, jika ada sesuatu acara yang menggunakan tema, sayalah orang pertama yang akan mengikuti tema diberikan. Dari segi gaya pula, kakak saya, Zurina Zainal Abidin, yang banyak memberikan pandangan," ujar Fizz yang bergegas ke lokasi penggambaran siri seram, Roh, terbitan Js Pictures.

Berlakon bersama-samanya dalam siri arahan Jinggo itu ialah Sheila Rusly, Rozie Rashid dan Zamarul Hisham.

Kata Fizz, sewaktu dia mengetahui ABPBH menggunakan tema Cetusan Warna, terbayang di kepalanya segala warna pelangi dan fesyen dari zaman 60-an.

"Ketika pereka dari Lord’s Tailor, Kenny Loh, menunjukkan fabrik yang bakal digunakan untuk jaket saya, terkejut juga saya dibuatnya. Saya tidak pernah mengenakan jaket bercorak kotak-kotak berasaskan warna hijau sebegini. Tetapi, apabila ia sudah disiapkan, saya memang tertarik dengan gayanya. Ia kelihatan begitu cantik," kata Fizz yang mementingkan keselesaan dalam bergaya.

No comments:

Post a Comment